Friday, February 5, 2010

Terima Kasih Atas Ingatanmu...

Semalam genap sudah usiaku 23 tahun jika mengikut taqwim Masihi. Tanggal 4 Februari. Semakin meniti usia dewasa. Hari demi hari. Saban tahun berulang lagi. Selagi tidak terhembus nafas yang terakhir. Maka hidup ini diteruskan. Melangkah alam perjuangan. Hingga ke akhirnya.

Aku masih di sini. Di perbukitan ilmu ini. Semester terakhir bagiku. Sudah lebih 5 semester berada di sini. Kini berada di semester terakhir. Sedikit sibuk dengan projek ilmiah. Projek terakhir bagiku sebelum bergelar graduan. Insya-Allah… Mudah-mudahan dengan kehendak-Nya sekitar bulan Ogos nanti.

Ke mana langkahku selepas ini? Belum ditentukan lagi. Masih dalam dilema. Berkerja atau meneruskan pengajian di peringkat sarjana? Entahlah… Sedikit buntu memikirkannya..

Semalam, mesej dari teman-teman mengucapkan selamat dan mendoakan kebahagiaan dan kejayaan buat diri ini. Moga tidak sekadar taipan abjad pada skrin telefon bimbitku. Biarlah terungkap dalam tadahan doa kalian. Mungkin ada keberkatannya. Amin.. Mudah-mudahan diperkenankan-Nya…

Tidak juga lupa dari teman-teman di laman friendsterku. Mesej daripada kalian sudah ku terima. Aku terus mengharapkan doa teman-teman di kejauhan ini. Moga terus diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menjalani hidup ini. Mudah-mudahan berjaya meniti semesta terakhir di sini. Doakan juga perjalanan sahabatmu selepas ini.

Cepat masa berlalu. Tempoh 22 tahun telah berlalu. Mengukir berjuta kenangan di lubuk sanubari. Dalam onak duri hidup ini. Kekadang diri ini alpa. Kekadang leka menjelma. Kekadang terselit lupa. Namun terima kasih kepada yang membantu. Menyedarkan dan menunjukkan jalan serta meniupkan kembali semangat perjuangan yang kadangkala luntur dalam diri. Saat terpalit sepi sendirian.

Buat sahabat yang tidak pernah lupa. Terima kasih atas ingatanmu. Membuatkanku rasa berteman sepanjang masa. Dalam perjuangan ini. Jauh hanya jarak yang berbeza. Namun ukhuwah tiada kesudahannya. Terima kasih atas perananmu. Sebagai teman dalam persahabatan ini.

Diri ini akan terus mengislahkan diri. Akan terus belajar menerima ketentuan-Nya. Akan terus cuba menimba butiran mutiara ilmu berharga. Agar lebih teguh menghadapi segala rintangan yang melanda. Moga berjaya menempuhinya.

Perjalanan hidup ini akan diteruskan. Hingga ke helaan nafas terakhir. Masa akan mengajar segalanya. Masa juga akan meninggalkan memori yang tercipta. Masih banyak lagi tanggungjawab dan amanah yang menanti di hadapan. Masih banyak lagi yang perlu dipelajari. Masih banyak lagi yang perlu diperbaiki. Kelemahan dalam diri ini.

Mesej teman bertanyakan bila akan terjalin ikatan pernikahan. Terasa kelu untuk menjawab persoalan dan buntu mencari jawapan. Apapun biarlah masa yang menentukan. Jodoh dan pertemuan itu Allah yang tentukan. Doa-doakan mudah-mudahan dengan izin-Nya insya-Allah... Bertemu jodoh pilihan. Penyejuk mata dan penenang jiwa…

Buat teman-teman, terima kasih atas segala-galanya. Sepanjang pertemuan meniti perhubungan ini. Mungkin wujud kekhilafan dan dosa. Maafkanlah diri ini sekiranya gagal berperanan sebagai sahabatmu. Diri ini sedaya upaya memelihara dan menghargai persahabatan ini. Jika ada kekurangannya. Mungkin atas kelemahan diri ini.

Teruskan perjuangan kalian. Diri ini akan terus mendoakan kebahagiaan dan kejayaan buat semua. Salam penuh kerinduan bersulam kasih dan sayang dari sahabat di perjalanan…

Wednesday, January 27, 2010

GERHANA

Biarlah gerhana sementara

Singgah dalam hubungan kita

Agar kita memahami

Ukhuwah yang terjalin ini


Seringkali kita alpa

Menilai harga sebuah ikatan

Sekian lama kita bina

Terasa biasa dalam jiwa


Kita renung kembali

Hikmah gerhana ini

Kita singkap cahaya berbaki

Agar kita lebih mengerti


Biarlah gerhana ini

Mencipta kembali harapan

Menyemarak kembali perjuangan

Hingga tersuluh sinaran


Agar kita tidak tewas

Dalam kegelapan gerhana

Mencari sinar kebenaran

Dalam seri penghargaan


Jika terasa peritnya

Agar tersedar sendiri

Yang pernah merasainya

Dahulu pernah melaluinya


Hati tidak mahu

Terkadang ianya perlu

Agar kita tahu

Wujud kekhilafan itu


Sesekali di sudut berbeza

Berada dalam dua jiwa

Agar kita memahami

Apa yang dilalui


Tapi jangan biarkan

Gerhana berpanjangan

Carilah jawapan

Agar bertemu jalan


Gerhana oh gerhana

Sampai tiba masanya

Cahaya kembali bersinar

Menerangi ukhuwah ini..


GERHANA

26 Januari 2010

11.00 P.M

Monday, January 18, 2010

Memori Reunion SPM 2005



Sekitar mengimbau aktiviti reunion bersama sahabat-sahabat Meheliah pada 30 November 2009. Melalui gambar-gambar kenangan bersama teman-teman. Telah menjadi kebiasaan mengadakan program reunion apabila berkumpul sekali sekala.

Program yang dirancang secara drastik oleh saudara Mohd Nasruddin Bin Loman telah berjaya dianjurkan dengan bayaran RM5 seorang. Bertempat di Wakaf Pantai Geting dengan aktiviti BBQ. Menunya ayam bakar, keropok, colek dan air gas.

Reunion yang diadakan secara ringkas namun tetap meriah dengan gelagat teman-teman apabila sesekali berkumpul. Ada saja perkara yang dibicarakan dari zaman sekolah hinggalah kini. Bukan mudah untuk berkumpul ramai-ramai kerana masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing. Sekadar mengambil kesempatan pada musim cuti yang kebanyakan kami berada di kampung halaman.

Aktiviti ringkas kami bermula pada jam 5.00 petang dan berakhir sebelum waktu Maghrib telah membuktikan kesepakatan ukhuwah kami yang terbina sejak dulu. Ibarat air yang dicincang tidak akan putus. Begitulah kami dalam ikatan persahabatan ini.

Laman Tinta Ukhuwah ini merakamkan kembali memori itu sebagai kenang-kenangan untuk semua. Biarpun merupakan aktiviti kecil namun biarlah tercatat di laman ini manakan tahu suatu ketika nanti menjadi sejarah yang amat bererti buat diri dan ukhuwah ini.

Malam sebelum program reunion ini iaitu pada 29 November 2009, kami telah berkumpul bagi perlawanan futsal. Ramai juga di kalangan teman-teman yang berkesempatan meluangkan masa beriadah bersama-sama. Ana yang telah lama tidak turun padang turut bersama teman-teman menyertai perlawanan tersebut kerana sudah lama tidak bermandi peluh. Sekadar berseronok dan mengisi kekosongan aktiviti saat bercuti di kampung.

Sekadar itulah cebisan kenangan yang telah lama ingin dipostkan tetapi tidak berkesempatan kerana menghadapi sedikit masalah yang tidak dapat dielakkan. Tetapi Alhamdulillah tercapai juga hasrat menyiarkannya di laman Tinta Ukhuwah ini. Apapun terima kasih buat semua yang bertungkus lumus menganjurkan aktiviti-aktiviti yang boleh merapatkan hubungan persahabatan yang sekian lama terjalin ini. Insya-Allah kita anjurkan di lain waktu pula nanti…

Tuesday, December 22, 2009

Semesta Baru dan Terakhir.. Insya-Allah...

Pejam celik pejam celik.. Sudah hampir 3 tahun ana berada di Universiti Kebangsaan Malaysia.. Bermula minggu ini ana berada di semesta terakhir di sini bagi meneruskan perjuangan dalam usaha mendapatkan ijazah sarjana muda.. Insya-Allah...
Terasa masih banyak lagi perkara yang tidak diketahui insan ini.. Kalau ada rezeki insya-Allah selepas ini akan menyambung pelajaran di peringkat sarjana pula.. Namun banyak benda pula difikirkan akhir-akhir ini dan kemungkinan besar akan melupakan hasrat seketika menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi.. Namun demikian, semangat untuk terus menuntut ilmu masih terus bersemarak dalam jiwa ini..
Tidak mengapalah jika tiada rezeki untuk menyambung terus pengajian selepas ini.. Mungkin selepas ini peluang masih ada.. Hari ini kuliah masih belum bermula.. Seperti biasalah pada minggu2 awal camni, sibuk daftar kursus dan cari kelas tutor.. Tapi tidak mengapa kerana di semesta terakhir tidak ada apa yang hendak direbutkan.. Yang tinggal hanya subjek2 jabatan dan modul.. Tidak seperti tahun2 awal di UKM ini.. Semua mesti cepat.. Hihi..
Problem sekarang ni adalah laptopku yang rosak.. Sekarang ni guna komputer di makmal komputer jer.. Insya-Allah akan menyusul nanti.. Benda dah nak rosak nak buat camne.. Ni tahun akhir pula buat hal.. Sedikit terasalah ketiadaannya di sisi.. Hihi.. Maklumlah projek akhir semestinya menjadi fokus utama.. Projek Ilmiah.. Tajuk belum dapat, kena bincang balik dengan penyelia..
Mohon kepada sahabat2 mendoakan kejayaan ana di sini.. Mudah2an dapat menjalani semesta terakhir ini dengan sebaik mungkin.. Tiada apa yang ingin dibicarakan buat setakat ini.. Insya-Allah kalau ada idea nanti, ana post benda2 lain pula.. He3..
Ok... Selamat Maju Jaya Semua!!!

Saturday, December 5, 2009

Detik Perpisahan dan Salam Perjuangan!!!

Selamat jalan sahabat2ku!!!

Tanggal 4 Disember 2009, detik perpisahan dua orang sahabat yang mana telah bertolak kembali ke bumi Anbiya' Mesir. Alhamdulillah, ana dan beberapa orang sahabat berkesempatan menghantar saudara Muhammad Nasrun dan Hamidul Hannan Hasani di tempat berlepas di lapangan terbang Pengkalan Chepa.


Sudah beberapa bulan mereka bercuti di kampung halaman. Tibalah masanya berangkat meneruskan perjuangan di kota ilmu al-Azhar. Sekali lagi perpisahan berlaku dalam ikatan ukhuwah ini. Sudah menjadi adat perjuangan, yang jauh berlalu pergi bila masanya tiba. Entah bila lagi akan bertemu kembali selepas ini. Semoga masih diberikan peluang dan ruang untuk bersua suatu ketika nanti.



Sebak rasanya hati ini mengenangkan ukhuwah ini, namun mesti tabah mengharungi segala kemungkinan yang terjadi. Hanya kuntuman doa mengiringi perjalananmu sahabat2ku. Moga selamat tiba ke bumi Mesir dan meneruskan perjuangan kalian di sana. Ana akan teruskan mendoakan sahabat-sahabat di sana agar sentiasa berada dalam limpahan rahmat Ilahi dan berjaya dalam bidang pengajian masing-masing.


Saat menulis post ini, mungkin kalian masih berada di awanan atau telah tiba di Kota Cairo. Sampaikan salam rindu buat sahabat2 di sana. Insya-Allah jika diizinkan kita berjumpa lagi di masa akan datang. Jangan lupa berhubung lagi selepas ini. Dan ana memohon maaf kerana ketika ini sukar untuk mengakses internet kerana berada di kampung halaman dan insya-Allah tidak lama lagi akan kembali menjejak kaki ke universiti meneruskan perjuangan di semesta terakhir. Insya-Allah.


Buat sahabat2 di perantauan, teruskan perjuangan kalian menimba selautan ilmu di kota Piramid sana. Selamat berjuang dan selamat berjaya!!!

Wednesday, December 2, 2009

Selamat Pengantin Baru!!!

Alhamdulillah... Hari Raya Haji pun dah abes.. Sekarang ni musim nikah kahwin laa plak.. Hihi.. Maklumlah musim2 cuti cam gini.. Ambik kesempatan la ye pada yang mampu..

Jangan salah anggap pulak. Bukan ana yang kahwin. Ana solo lagi. Ha3... Xtau la bila giliran kita ni.. Apa2pun tahniah laa pada sahabat2 ana yang dah kahwin tu walau di mana pun kalian berada.. Moga bahagia di dunia dan akhirat.. Lahirkan generasi soleh dan solehah..

Kepada sahabat ana Wan Abdul Halim Bin Wan Sukri, Selamat Pengantin Baru bersama pasangan pilihan anta deh.. Semoga berbahagia dan dapat menjalani alam kehidupan yang baru sebagai suami dengan baik..

Okla.. Just tu je yang ana nak postkan hari ni. Xde modal laa.. Nanti ana citer bende2 lain plak.. Tunggu jer laa.. Maklumlaa duk kat kampung ni payah sikit nak dapat internet.. Hu3.. Ni pun guna yang orang punya.. Nak pergi cc pun malas time2 hujan cam gini.. Maklumlah kat depan umah, blakang umah, hampir2laa sekeliling rumah laa dinaiki air.. Kan sekarang ni kan musim banjir.. Mandi hujanlaa jawabnye... Hi3...

Ok.. bye2.. jumpa lagi ye... Hi3..

"Barakallahu laka wa baraka 'alaika wa jama'a bainakuma fi khair"

Friday, November 13, 2009

Adik-adikku Sayang

Adik-adikku sayang..

Bukan dendangan lagu ku alunkan..

Dari kenangan untuk ku dendangkan..

Bukannya keasyikan mimpi..

Dari keindahan yang mengulik lena..

Namun padamu sejuta harapan..

Menemani jiwamu adik-adikku sayang..


Adik-adikku sayang..

Indahnya aturan pertemuan ini..

Biarpun tidak selalu bersama..

Biarpun rentasan usia melewati..

Biarpun batasan jarak membezakan..

Namun tetap terukir kenangan..

Bersamamu adik-adikku sayang..


Adik-adikku sayang..

Gurau senda bersama denganmu..

Di sekian detik yang tersimpan..

Menghilangkan kesepian waktu..

Hari-hari yang terus berlalu..

Menguatkan semangat perjuangan..

Bertemankan memori adik-adikku sayang..


Adik-adikku sayang..

Saat terpancar senyuman di wajahmu..

Menghiburkan resah di hatiku..

Sepatah bicara yang terucapkan..

Dari bibirmu yang keriangan..

Biarpun terselit malu dalam diam..

Dari riak wajahmu adik-adikku sayang..


Adik-adikku sayang..

Ingin ku labuhkan tangan ini..

Penuh manja merangkul bahumu..

Memelukimu seerat ikatan..

Belaian kasih erti persaudaraan..

Dalam ukhuwah bersulam keimanan..

Denganmu adik-adikku sayang..


Adik-adikku sayang..

Saat ini terusik kerinduan..

Dari hati di kejauhan ini..

Rindu pada memori bersamamu..

Biarpun seketika tetap bermakna..

Bersamamu memori tercipta..

Indahnya wahai adik-adikku sayang..


Adik-adikku sayang..

Ketenangan yang terpapar di wajahmu..

Senyuman yang mengubati keresahan..

Menguji kesabaran untuk kembali..

Meninggalkan kekacauan suasana..

Biarlah diriku seerat mungkin..

Dekat denganmu adik-adikku sayang..


Adik-adikku sayang..

Berbeza darah bukan halangan..

Tersimpan kasih membisik harapan..

Meluahkan rasa menuturkan sayang..

Dari rasa hati yang hadir penuh ketulusan..

Indahnya ukhuwah yang dipertemukan Ilahi..

Mengenalimu wahai adik-adikku sayang..

Wednesday, November 11, 2009

Leganya Dah Abis Exam...

Alhamdulillah... Hari ini tamat sudah perjuangan menghadapi peperiksaan akhir bagi semesta kelima ana di Universiti Kebangsaan Malaysia. Peperiksaan pada kali ini bukanlah mudah terutamanya bagi subjek Takwil Mushkil al-Quran yang sememangnya mencabar dan sebenarnya berdebar menanti keputusan exam nanti kerana pada semesta ini merasakan banyak subjek dengan 3 unit kredit.

Namun usaha telah dilakukan sekadar termampu bagi menghadapi exam pada kali ini. Sekarang hanya bertawakkal menanti keputusan nanti di samping doa terus dipanjatkan kepada Ilahi mudah-mudahan diberi keputusan yang baik pada semesta ini.

Selepas ini, warga mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia akan bercuti. Menikmati kerehatan setelah selama tiga minggu bertungkus lumus memerah keringat minda untuk menghadapi peperiksaan semesta pertama sesi 2009/2010.

Ana juga insya-Allah akan bercuti. Hari ini ana meniti hari menuju ke Pulau Langkawi bagi menyertai OPKIM d'Mahsuri anjuran Persatuan Mahasiswa Kebajikan Kedah (PKMK). Akan bertolak pada hari Jumaat (Malam Sabtu) ke Pulau Langkawi selama 5 hari.

Jom!!!